Monday, November 29, 2010

Topik: Usah Membenci Mati.!



1. Sikap gusar terhadap kematian bukanlah satu petanda seseorang bersedia menghadapinya. Kerana hukum alam semulajadi sudah menetapkan bahawa setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya.

2. Tiada istilah immortality (kehidupan abadi) didunia melainkan tetap menemui maut di akhir hayat mereka. Golongan free thinker dan atheis yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan serta alam ghaib turut mati apabila tamat riwayat hidup mereka.

3. Tiada siapa boleh menafikan hakikat kematian adalah suatu yang benar lagi pasti sama ada Muslim, Kristian, Hindu dan penganut agama lain.

4. Seorang Muslim diajar asas keimanan teguh merangkumi beriman terhadap perkara ghaib. Mempercayai Allah Taala disamping mengakui ketuhananNYA, wujud malaikat-malaikatNYA, kebangkitan manusia pada Hari Akhirat selain adanya syurga dan neraka merupakan perkara ghaib yang tidak mampu dijangkaui akal manusia.

5. Kesedaran tentang hakikat kematian adalah satu jalan mengingati akhirat agar membanyakkan amal kebaikan serta menjaga ibadah fizikal juga hati. Di sini, syarak menganjurkan perbuatan menziarahi kubur sekali sekala agar mengingatkan diri terhadap akhirat.
 
6. Nabi Muhammad s.a.w berpesan, dari Abdullah bin Mas’ud r.a, “Sebelum ini daku melarang kalian menziarahi kubur, maka ziarahilah ia kerana dapat mengingatkan kalian terhadap hari akhirat.” (Ibn Abdil Bar, kitab Istizkar, 1/224, dan Ibn Munzir, Targhib wa Tarhib, 4/273, hadis: thabit dan sahih)

7. Menempuhi kematian adalah saat gembira bagi orang beriman kerana mereka akan bertemu dengan Allah Taala. Tiada jalan lain menemui Allah Taala kecuali selepas menempuhi kematian.

8. Maka, kematian menjadi nikmat, bukan musibah yang dibenci. Barangsiapa suka akan bertemu dengan Allah, Allah Taala juga suka bertemu dengannya. Dalam sebuah hadis diriwayatkan isteri Nabi s.a.w, Aisyah r.a bahawa sabda baginda s.a.w,
“Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Aku bertanya: Wahai Nabi Allah! Apakah kita perlu membenci mati? Di mana kami semua membenci mati. Baginda bersabda: Bukan begitu. Seseorang mukmin apabila diberitahu berita gembira dengan rahmat Allah, keredaan-Nya dan Syurga-Nya nescaya dia pasti suka untuk bertemu Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir apabila diberitahu adanya seksa serta murka Allah, dia tidak akan suka bertemu Allah dan Allah juga tidak suka bertemu dengannya” (Sahih Muslim, no: 4845, Kitab Zikir, Doa, Taubat dan Istighfar)

9. Maka, usahlah membenci mati.


http://renungan2us.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment